
Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Ukhuwah
Islamiyah muncul sebagai penyangga kepada kekuatan aqidah dan merupakan
nikmat yang Allah swt berikan di samping ianya juga adalah suatu
kehendak Allah swt.
Kita hanya mampu berusaha untuk sentiasa mempersatukan hati-hati kita, namun Allah jualah yang dapat memadukannya.
“Dan
yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun
kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu
tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah
mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha
Bijaksana.” (QS Al-Anfal : 63)
HAKIKAT UKHUWAH ISLAMIYAH
Ukhuwah Islamiyah ialah suatu ikatan yang mempunyai ciri-ciri berikut :
PERTAMA : Ia adalah nikmat Allah swt
“Dan
berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah
kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu
dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan
hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang
bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah
menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan
ayat-ayatNya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (QS Ali Imran : 103)
KEDUA : Umpama tali tasbih yang hanya diikat dengan taqwa
“Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.” (QS Az Zukhruf : 67)
KETIGA : Merupakan kehendak Rabbani
“Dan
yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun
kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu
tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah
mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha
Bijaksana.” (QS Al-Anfal : 63)
KEEMPAT : Merupakan cermin kekuatan iman
“Orang-orang
beriman itu sesungguhnya bersaudara. Maka, damaikanlah (perbaikilah
hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya
kamu mendapat rahmat.” (QS Al Hujuraat : 10)
Berkenaan dengan usaha peningkatan Ukhuwah Islamiyah ini, adalah sesuatu yang munasabah untuk kita meneliti tahapan-tahapan
(maraahil)
yang pernah ditempuh oleh Rasulullah saw dan para sahabat dan
selayaknya untuk dijadikan sebagai asas untuk kita berpijak dalam
membina Ukhuwah Islamiyah di manapun kita berada.
Program peneguhan ikatan Ukhuwah Islamiyah memerlukan proses yang :
a. Agak panjang.
b. Bertahap.
c. Berterusan.
Setidak-tidaknya ada empat (4) tahap yang mesti dilalui sebelum terciptanya Ukhuwah Islamiyah yang benar-benar kuat dan utuh.
PERTAMA : TAHAP SALING KENAL MENGENAL (TA’ARUF)
Dalam
tahap ini, seorang muslim tidak hanya mengenal begitu sahaja
saudaranya; namun ia seharusnya pergi lebih jauh dan mencuba untuk
mengenali :
1. Penampilan saudaranya.
2. Sifat-sifat (Syakhsiyah) saudaranya.
3. Pemikiran saudaranya.
Pengenalan dalam tahap ini mencakupi aspek
‘jasadi’ (fizikal),
‘fikri’ (pemikiran) dan
’nafsi’ (kejiwaan).
KEDUA : TAHAP SALING MEMAHAMI (TAFAAHUM)
Ini
merupakan tahap yang penting kerana ia mencakupi berbagai proses
penyatuan. Seperti juga dalam tahap pertama, ruang lingkup proses
‘tafaahum’ ini adalah lebih kurang sama. Perbezaannya terletak pada kekuatan pengenalan.
Pada tahap ini, setiap muslim dituntut untuk memahami :
a. Kebiasaan saudaranya.
b. Kesukaan saudaranya.
c. Karakter saudaranya.
d. Ciri khas individu.
e. Cara berfikir saudaranya.
Dengan yang demikian, perasaan-perasaan seperti
"tidak enak", "tidak sesuai" dan sebagainya
dapat dihapuskan dalam rangka saling menasihati.
Dalam tahap ini terdapat tiga bentuk proses penyatuan yang meliputi :
A.PENYATUAN HATI (TA'LIFUL QULUB)
Penyatuan hati merupakan asas awal yang mesti ada dalam proses pembentukan ukhuwah kerana hati
(qalb) merupakan sumber setiap gerakan dan sikap seseorang dalam :
1. Menilai.
2. Memilih.
3. Mengasingkan.
4. Mencintai.
5. Membenci.
Apabila hati telah terpaut dan jiwa telah menyatu, barulah persaudaraan seseorang dengan yang lainnya akan :
a. Berjalan lancar.
b. Bersih.
c. Dipenuhi rasa kasih sayang.
Hati
manusia hanya mampu disatukan secara murni dan bersih apabila bermuara
kepada satu simpul ikatan yang fitrah dan simpul tali itu adalah aqidah.
Inilah satu-satunya asas berpijak, bertemu dan menjadi pengikat yang utuh dan abadi.
“Dan
berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah
kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu
dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan
hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang
bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah
menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan
ayat-ayatNya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (QS Ali Imran : 103)
B.PENYATUAN PEMIKIRAN (TA'LIFUL AFKAR)
Dalam
proses ini, orang-orang yang sudah sehati sejiwa sepatutnya berhimpun
bersama untuk mempelajari suatu sumber yang sama sehingga menghasilkan
suatu fikrah (cara berfikir) yang serupa.
Bahkan yang jauh
lebih penting adalah bila berlaku perbezaan cara pandang, maka dengan
titik mula cara berfikir yang sama akan dapat diselesaikan dengan segera
sehingga mampu meningkatkan keberkesanan kerja.
Ikatan Ukhuwah Islamiyyah adalah ikatan yang aktif dan dinamik dalam menegakkan kalimah Allah swt.
Untuk itu diperlukan tidak hanya sekadar hati yang ikhlas tetapi juga :
1. Gagasan.
2. Pemikiran.
3. Konsep.
4. Idealisma
yang cemerlang.
Meskipun
sekelompok individu telah saling mengikatkan diri, sehati dan sejiwa;
namun kerana terdapat perbezaan orientasi dan wawasan pemikiran, maka
strategi dan taktik pun menjadi berserakan di mana akhirnya kerja akan
membawa kepada kegagalan dan kekalahan.
Oleh kerana itulah tahap
"penyatuan pemikiran" ini menjadi suatu kemestian dalam membentuk Ukhuwah Islamiyah.
C.PENYATUAN KERJA (TA'LIFUL AMAL)
Individu-individu
yang telah berhimpun di atas tujuan dan pemikiran yang sama ini tidak
boleh hanya berdiam diri sahaja atau bekerja sendiri-sendiri
(single fighter).
Adalah
menjadi sunnatullah bahwa sesuatu yang diam atau tidak bergerak
mempunyai kecenderungan untuk mendapat penyakit misalnya seperti air
yang terkumpul dan tidak mengalir boleh menjadi sumber penyakit.
Demikian pula dengan kumpulan individu yang bersemangat tinggi dan memiliki setompok gagasan cemerlang akan menjadi
"penyakit" apabila tidak ada langkah kerjanya.
Oleh
kerana itu sangat perlu adanya kerja yang nyata dalam berbagai bidang
dan keahlian dan agar kerja itu berkesan, maka ianya hendaklah tersusun
dalam suatu arus yang terarah.
KETIGA : TAHAP SALING TOLONG MENOLONG (TA'AWUN)
Dalam
proses penyatuan kerja, adalah suatu yang mutlak diperlukan usaha
tolong-menolong yang merupakan usaha lanjutan dari tahap
‘tafaahum’ (saling memahami) pada tahap kedua di atas.
Saling
mengenal semata-mata tanpa diteruskan dengan saling memahami tidak akan
mampu membentuk hubungan antara individu yang mampu tolong menolong,
saling isi-mengisi dengan kekurangan dan kelebihan yang terdapat pada
setiap individu.
KEEMPAT : TAHAP SALING MEMIKUL BEBANAN (TAKAAFUL)
Tahap
ini merupakan mercu dari proses Ukhuwah Islamiyyah iaitu terletak pada
timbulnya rasa senasib dan sepenanggungan meliputi suka mahupun duka
dalam setiap langkah kerja.
Apabila tahap takaaful ini terwujud, maka ikatan Ukhuwah Islamiyahpun terbentuk dengan
utuh.
Dari
rangkuman di atas, kita dapat lihat bahwa usaha penyatuan
peribadi-peribadi muslim dalam suatu amal Islami adalah merupakan
perbuatan yang sia-sia jika tidak dimulai dengan tahapan dan proses yang
telah disebutkan itu.
KEPENTINGAN UKHUWAH ISLAMIYAH
Sebagaimana
yang kita semua ketahui bahwa umat Islam menghadapi berbagai
permasaalahan samada diri mereka sendiri ataupun di peringkat
antarabangsa terutama setelah jatuhnya kekhalifahan Islam yang terakhir
pada tahun 1924.
PERTAMA :
Di
kalangan mereka sendiri, umat Islam ketika ini terpecah-pecah menjadi
lebih 55 negara di mana masing-masing bangga dengan negaranya sendiri.
Seringkali negara-negara Islam sendiri tidak mempunyai perasaan damai
antara satu dengan yang lain. Bahkan tidak jarang pula satu negara
dengan yang lain terjadi peperangan kerana hanya satu masalah yang remeh
misalnya batas wilayah.
KEDUA :
Umat Islam telah kehilangan satu kepimpinan dan akibatnya sering lemah dan tidak berdaya
dalam
menghadapi musuh-musuh Islam. Ini dapat dilihat dengan jelas terhadap
peristiwa pembantaian umat Islam yang berlaku di Palestin, Kashmir,
Bosnia, Asia Tengah, India dan lain-lain.
KETIGA :
Hubungan
di antara orang-orang Islam sendiri tidak begitu kemas di mana kita
sering tidak memberikan hak kepada saudara kita se-Islam dengan
semestinya. Akibatnya ikatan antara sesama muslim menjadi begitu lemah
sekali kerana mereka hanya berbaik-baik jika ada keuntungan yang boleh
diraih tapi jika tiada apa-apa manfaat keduniaan, maka agak sukar untuk
mereka memikirkan akan nasib saudara mereka sendiri dalam Islam
seolah-olah tidak ada ikatan yang istimewa di antara orang-orang Islam.
Mari cuba kita renungkan kenapa umat Islam jatuh kepada keadaan seburuk ini?
Di
sinilah letaknya kepentingan Ukhuwah Islamiyah. Banyak permasalahan
Umat Islam akan mudah ditangani jika kita benar-benar mampu memahami
kaidah Ukhuwah (persaudaraan) Islamiyah dan membina Ukhuwah Islamiyah
yang sebenarnya.
Allah swt dengan cantiknya menggambarkan hubungan antara sesama orang-orang yang beriman:
"Orang-orang
yang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Maka, damaikanlah (perbaiki
hubungan) antara kedua saudaramu itu, dan patuhlah kepada Allah, supaya
kamu mendapat rahmat." (QS Al Hujuraat : 10)
Dalam
ayat ini Allah swt mengaitkan ukhuwah (persaudaraan) dengan iman,
menunjukkan betapa pentingnya makna Ukhuwah Islamiyah. Ukhuwah dijadikan
oleh Allah swt sebagai salah satu dari tanda-tanda orang yang beriman.
Dalam
sirah Rasulullah saw, kita dapat menghayati makna daripada ayat di atas
bagaimana Rasulullah saw mengimplementasikan perintah Allah ini dalam
membina umat Islam ketika itu.
Setelah baginda berhijrah
dan sampai di Madinah, salah satu langkah yang paling awal yang beliau
lakukan adalah mengikat persaudaraan antara orang-orang Muhajirin dan
Anshar.
Ikatan persaudaraan yang dibina oleh Rasulullah
ini sedemikian kuatnya sehingga melebihi rasa persaudaraan di antara dua
saudara kandung. Baginda juga memerintahkan dibangunnya Masjid sebagai
pusat bertemunya orang-orang yang beriman paling sedikit 5 kali sehari.
Sebagaimana yang disebut sebelum ini bahwa dalam pembentukan Ukhuwah Islamiyah, ada tiga tahapan yang mesti dilalui iaitu :
a. Tahap ta'aruf (saling mengenal).
b. Tahap tafaahum (saling memahami).
c. Tahap takaaful (saling memikul bebanan).
Pada tahap
"ta'aruf",
Ukhuwah mulai dirintis, iaitu dua (atau lebih) saudara Muslim saling
mengenal dengan saling mengunkapkan latar-belakang masing-masing.
Allah swt berfirman :
"Wahai
manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan
seorang perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan
bersuku-suku supaya kamu mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya
yang paling mulia di antara kamu dalam pandangan Allah ialah yang lebih
bertaqwa. Sesungguhnya ALlah Maha Tahu dan Mengerti." (QS Al Hujurat :
13)
Dengan pengenalan ini maka kita mampu
menghayati hakikat perbezaan-perbezaan (bangsa, kedudukan, status, ras,
bahasa dan lain-lain) di antara kita dan akhirnya mampu menerima
perbezaan-perbezaan ini sebagai kehendak Allah agar kita dapat saling
mengenal.
Pada tahap
"tafaahum",
tingkatan Ukhuwah adalah lebih tinggi lagi iaitu setelah kita mengenali
latar belakang saudara kita, maka seterusnya kita perlu memahami diri
saudara kita lebih terperinci lagi iaitu sehingga sampai ke tahap :
1. Mengenali dan memahami apa-apa yang disukai dan apa-apa yang dibenci oleh saudara kita.
2. Kita dapat bertindak dengan sebaik-baiknya kepadanya.
3. Kita memahami kelebihan dan kelemahan saudara kita.
4. Kita mampu bertindak demi untuk kebaikan saudara kita.
Manakala pada tahap
"takaaful", di sinilah tingkatan yang tertinggi sekali. Setelah kita
saling mengenal, kemudian saling memahami, akhirnya kita mampu saling berkongsi bebanan.
Allah swt memerintahkan kepada kita :
"....Dan
tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan taqwa dan
janganlah kamu tolong-menolong dalam mengerjakan dosa dan pelanggaran
hukum...." (QS Al-Maidah : 2)
Bagaimana kita melaksanakan perintah Allah ini jika kita tidak saling mengenali antara satu sama lain?
Jadi kedua-dua tahapan Ukhuwah sebelumnya merupakan syarat asasi untuk tahapan
“takaaful” ini.
Dalam harakah Islamiyah, terbinanya Ukhuwah Islamiyah mempunyai peranan yang penting sekali demi kejayaan dakwah.
Imam
Hasan Al-Banna menjadikan Ukhuwah Islamiyah ini sebagai salah satu dari
10 rukun bai'ah dalam organisasi dakwah yang beliau bina.
Beberapa ungkapan beliau yang mungkin boleh kita kaji dalam pembentukan Ukhuwah Islamiyah adalah seperti berikut :
a. Kekuatan jamaah, sebagaimana organisasi-organisasi secara umumnya, adalah
terletak pada kekuatan ikatan para anggotanya.
b. Tiada ikatan yang lebih kuat dalam hal ini selain ikatan
"cinta" yang diasaskan pada
aqidah Islam.
c. Tingkatan daripada
"ikatan cinta" ini yang paling lemah adalah kebersihan hati kita
terhadap saudara kita (yakni dari segala macam penyakit hati seperti buruk sangka, iri-
hati, dengki, sombong, tamak, dan lain-lain).
d. Tingkatan yang paling tinggi daripada
"ikatan cinta" ini adalah mendahulukan
kepentingan saudara kita berbanding kepentingan kita.
Akhirnya,
kita cukup memahami betapa pentingnya Ukhuwah Islamiyah ini bagi diri
kita sendiri sebagai individu Muslim. Kita semua tahu bahwa agama Islam
adalah agama Allah dan Allah telah menjanjikan kewujudan dan kemenangan
Islam.
Jadi, samada kita mahu menjalin Ukhuwah Islamiyah
atau tidak, Islam akan tetap kekal dan dakwah Islam akan terus
berjalan, tetapi kita tidak boleh hidup tanpa Ukhuwah Islamiyah ibarat
sekelompok biri-biri di pinggir hutan di mana seekor serigala hanya akan
mampu menangkap seekor biri-biri yang terkeluar dari kelompoknya.
Ya
Allah, jadikanlah Ukhuwah sebagai asas kepada kekuatan dan kemuliaan
kami. Mudahkanlah kami dalam memenuhi hak-hak Ukhuwah yang tersimpul
dalam tiga tahapan iaitu Ta’aruf, Tafaahum dan Takaaful. Jalinkanlah
ikatan Ukhuwah yang kukuh antara sesama kami melalui kesatuan hati,
pemikiran dan amal.
Ameen Ya Rabbal Alameen
Wan Ahmad Sanadi Wan Ali
Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam
"UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN"
"IKRAM WADAH PERJUANGAN"